Saturday, February 25, 2012

Tuan Guru Hj.Ab Rahman Pondok Sungai Durian

SEJARAH HIDUP TUAN GURU HAJI ABDUL RAHMAN

1. KETURUNAN DAN LATAR BELAKANG KELUARGA

Nama penuh beliau Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman. Beliau lebih dikenali dengan panggilan “Ayah Haji”. Ayahnya Sulaiman Bin Kecik Bin Isa Bin Che Had. Emaknya Che Mek @ Salamah binti Hamat. Perkongsian hidup antara Lebai Sulaiman dengan isterinya, mereka dianugerahkan sembilan orang cahaya mata. Tuan Guru merupakan anak ketiga daripada sembilan adik beradik. Beliau dilahirkan di kampung Kenor, jajahan Kuala Krai, Kelantan pada tahun 1923M. Lebai Sulaiman iaitu ayah kepada Tuan Guru Haji Abdul Rahman berasal dari Kampung Keluat. Ia ter1etak di seberang Sungai Kelantan bersetentangan dengan Tangga Krai yang ada sekarang. Beliau dan keluarganya telah berpindah ke Kampung Guchil Lama, Kuala Krai. Tidak lama selepas itu beliau berpindah ke Kampung Sentul Lima, Machang. Dan kemudiannya beliau bersama keluarganya berpindah pula ke Kampung Dendang, Ketereh. Beliau meninggal dunia dan dikebumikan di sana. Beliau seorang tokoh agama yang berwibawa dan seorang qari yang baik bacaannya yang lebih dikenali dengan pangilan Tok Lebai Pak Da Sulaiman, Beliau pernah mendapat didikan agama secara formal di institusi pondok di Patani. Beliau juga berkebolehan membaca kitab-kitab jawi tetapi tidak boleh menguasai bahasa Arab. Semasa hayatnya setiap kali berpindah dan memulakan kehidupan di tempat baru, beliau mendirikan sebuah balaisah.

No comments: