Saturday, February 25, 2012

Muallim Abdul Wahid Sungai Udang, Ulama’ Melaka Tersohor

Nama sebenar beliau ialah Abdul Wahid bin Othman bin Ningkal dan berketurunan Kerinci, Sumatera. Datuknya berhijrah dari Kerinci ke Melaka pada akhir abad ke-19. Ibunya bernama Siti binti Haji Yusof. Beliau dilahirkan di Kampung Paya Rumput, Rumbia, Melaka pada 1910.Beliau mula dihantar belajar di Sekolah Melayu Tangga Batu sehinga lulus Darjah Lima. Ketika berusia 14 tahun, beliau belajar agama di Palembang, Sumatera di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Sultan. Setahun kemudian, beliau kembali ke Melaka dan memasuki Pondok Paya Rumput dan berguru dengan Tuan Guru Haji Mohd Zain Abdul Rahman.Selepas itu beliau memasuki Pondok Khairiyah, Batu Tujuh, Air Molek di bawah Tuan Guru Haji Abdul Majid. Dua tahun kemudian beliau berguru pula dengan bapa saudaranya, Tuan Guru Haji Ahmad Kassim sehingga 1931. Setelah itu, beliau mula berkelana ke Kelantan dan sempat berguru dengan ulama-ulama yang terkenal seperti Tok Kenali, Tuan Guru Ahmad Manan Tok Hakim, Mufti Haji Wan Musa Tuan Tabal, Tuan Guru Haji Ali Salahuddin Pulau Pisang, Tuan Guru Haji Yaakub Legor, Mufti Haji Ahmad Maher, Tuan Guru Haji Omar Nuruddin Sungai Keladi, Mufti Haji Mohd Noor Ibrahim, Tuan Guru Haji Said Kangkung dan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payung.Pengembaraan ilmu di beberapa pondok di Kelantan berakhir pada 1940. Antara rakan-rakan seperguruan beliau di Kelantan ialah Tuan Guru Haji Yahya Junid (bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS), Tuan Guru Haji Hussein Rahimi (bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat), Tuan Guru Haji Ghazali Pulau Chondong (bekas Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan), Tuan Guru Haji Othman Yunus (bekas Pesuruhjaya PAS Kedah), Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayahanda Mursyidul Am PAS) dan Tuan Guru Haji Awang Muhammad Rusila (ayahanda Presiden PAS).

No comments: