Saturday, February 25, 2012

Tuan Guru Haji Hussin Rahimi Bunut Payung

SALAH seorang ulama Kelantan yang terkenal pada era 1960-an ialah Tuan Guru Hussin Rahimi, iaitu tuan guru di Madrasah Ahmadiyah, Bunut Payung, Kelantan.Tuan Guru Haji Hussin yang menyertai PAS pada 1954 iaitu sebaik sahaja PAS membuka sayapnya di Kelantan ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sebelum diambil alih oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1968. Ini bermakna Tuan Guru Haji Hussin ialah salah seorang pemimpin kanan PAS ketika itu, selain pernah menjadi wakil rakyat di Kota Bharu sebanyak dua kali iaitu pada 1959 dan 1964.Nama sebenar beliau ialah Hussin Rahimi bin Saman bin Abdul Rahman. Di sebelah bapanya, Tuan Guru Haji Mat Saman merupakan seorang ulama yang terkenal di Pasir Puteh dan pernah belajar di Makkah sebelum Perang Dunia Kedua. Beliau terkenal dengan gelaran Haji Mat Saman Jawi kerana mahir kitab Jawi dan gelaran itu melekat padanya ketika berada di Makkah untuk dilaqabkan dengan nama beliau yang berasal dari Tanah Jawi (Nusantara).

Haji Mat Saman membuka pondok di Tebing Tinggi, Pasir Puteh dan juga di Kok Berangan, Pasir Puteh, Kelantan. Ibunya pula, Hajjah Che Mas atau Halimah binti Haji Sulaiman bin Abdul Ghafur ialah anak kepada seorang ulama, Tuan Guru Haji Sulaiman atau lebih terkenal dengan gelaran Tok Ayah Sulaiman Keramat, pengasas Pondok Pasir Perah, Chetok, Pasir Mas. Tok Ayah Sulaiman berpangkat sepupu dengan Datok Kadok, pahlawan Kelantan yang terbilang itu.

Dengan latar belakang keluarga yang terdiri daripada alim ulama di kedua-dua jurai keturunan, maka tidak hairanlah apabila Tuan Guru Haji Hussin yang dilahirkan di Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh pada tahun 1919 turut menjadi ulama yang terkenal. Semenjak kecil beliau dididik oleh ayahnya di Pondok Haji Mat Saman, Tebing Tinggi sebelum dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Garam (Haji Ahmad Zainal Abidin) di Pondok Gong Datuk.

No comments: