Ibn Bajjah
Umat Islam dipercayai telah sampai ke Sepanyol pada zaman sahabat lagi. Kedatangan mereka telah berjaya mempengaruhi kehidupan masyarakat di sana khususnya dalam bidang yang berkaitan
keilmuan dan ketarnadunan. Bahkan kesan
tamadun Islam masih dapat dilihat sehingga ke
hari ini.
Sepanjang pemerintahan Islam di Sepanyol yang juga dikenali sebagai
Andalusia, telah lahir ramai cendi-kiawan dan sarjana dalam pelbagai
bidang. Sebahagian mereka ialah ahli sains, matematik, astronomi,
perubatan, falsafah, sastera, dan sebagainya.
Salah seorang mereka ialah Abu Bakr Muhammad Ibn Yahya al-Saigh
atau lebih terkenal sebagai Ibn Bajjah. Beliau dilahirkan di Saragossa
pada tahun 1082 Masihi (M). Ibn Bajjah merupakan seorang
sasterawan dan ahli bahasa yang unggul. Dalam hal ini, beliau pernah
menjadi penyair bagi golongan al-Murabbitin yang dipimpin oleh Abu
Bakr Ibrahim Ibn Tafalwit. Selain itu, Ibn Bajjah juga merupakan
seorang ahli muzik dan pemain gambus yang handal. Sungguhpun
begitu beliau juga seorang yang hafiz al-Quran.
Dalam masa yang sama, Ibn Bajjah amat terkenal dalam bidang
perubatan dan merupakan salah seorang doktor teragung yang pernah
dilahirkan di Andalusia.
Walau bagaimanapun, kehebatannya turut terserlah dalam bidang
politik sehingga beliau dilantik menjadi menteri semasa Abu Bakr Ibrahim
berkuasa di Saragossa. Lebih menakjubkan lagi apabila beliau dapat
menguasai ilmu matematik, fizik, dan falak. Pada kesempatan itu beliau
banyak menulis buku yang berkaitan dengan ilmu logik.
Kemampuannya menguasai berbagai-bagai ilmu itu menjadikannya
seorang sarjana yang teragung bahkan tiada bandingannya di Andalusia
dan barangkali di dunia Islam. Jadi, sumbangannya dalam bidang
keilmuan begitu besar sekali.
Dalam bidang falsafah umpamanya, Ibn Bajjah boleh diletakkan setaraf
dengan al-Farabi dan Aristotle. Dalam bidang ini beliau telah
mengemukakan gagasan falsafah ketuhanan yang menetapkan bahawa
manusia boleh berhubung dengan akal fa'al melalui perantaraan ilmu
pengetahuan dan pembangunan potensi manusia.
Menurut Ibnu Bajjah, manusia boleh mendekati Tuhan melalui amalan
berfikir dan tidak semestinya melalui amalan tasawuf yang dikemukakan
oleh Iman al-Ghazali. Dengan ilmu dan amalan berfikir, segala
keutamaan dan perbuatan moral dapat diarahkan untuk memimpin
serta menguasai jiwa. Usaha ini boleh menumpaskan sifat haiwaniah
yang bersarang dalam hati dan diri manusia.
Berdasarkan pendapatnya, seseorang itu harus mengupayakan
perjuangannya untuk berhubung dengan alam sama ada bersama-sama
dengan masyarakatnya ataupun secara terpisah. Kalau masyarakat itu
tidak baik maka seseorang itu harus menyepi dan menyendiri.
Pandangan falsafah Ibn Bajjah ini jelas dipengaruhi oleh idea-idea
al-Farabi. Pemikiran falsafah Ibn Bajjah ini dapat diikuti dalam "Risalah
al-Wida" dan kitab "Tadbir al-Muttawwahid" yang secara umumnya
merupakan pembelaan kepada karya-karya al-Farabi dan Ibn Sina
kecuali bahagian yang berkenaan dengan sistem menyepi dan
menyendiri.
Namun, ada sesetengah pengkaji mengatakan bahawa kitab tersebut
sama dengan buku "al-Madinah al'Fadhilah" yang ditulis oleh al-Farabi.
Dalam buku itu, al-Farabi menjelaskan pandangan beliau mengenai
politik dan falsafah. Al-Farabi semasa membicarakan tentang politik
telah mencadangkan supaya sebuah negara kebajikan yang diketuai
oleh ahli falsafah diwujudkan.
Satu persamaan yang ketara antara al-Farabi dengan Ibn Bajjah ialah
kedua-duanya meletakkan ilmu mengatasi segala-galanya. Mereka
hampir sependapat bahawa akal dan wahyu merupakan satu hakikat
yang padu. Sebarang percubaan untuk memisahkan kedua-duanya
hanya akan melahirkan sebuah masyarakat dan negara yang pincang.
Oleh sebab itu, akal dan wahyu harus menjadi dasar dan asas
pembinaan sebuah negara serta masyarakat yang bahagia. Ibn Bajjah
berpendapat bahawa akal boleh menyebabkan manusia mengenali apa
sahaja kewujudan sama ada benda atau Tuhan. Akal boleh mengenali
dengan sendiri perkara-perkara tersebut tanpa dipengaruhi oleh
unsur-unsur kerohanian melalui amalan tasawuf.
Selain itu, Ibn Bajjah juga telah menulis sebuah buku yang berjudul
"aI-Nafs" yang membicarakan persoalan yang berkaitan dengan jiwa.
Pembicaraan itu banyak dipengaruhi oleh gagasan pemikiran falsafah
Yunani. Oleh sebab itulah, Ibn Bajjah banyak membuat ulasan terhadap
karya dan hasil tulisan Aristotle, Galenos, al-Farabi, dan al-Razi.
Minatnya dalam soal-soal yang berkaitan dengan ketuhanan dan
metafizik jauh mengatasi bidang ilmu yang lain meskipun beliau turut
mahir dalam ilmu psikologi, politik, perubatan, algebra, dan sebagainya.
Sewaktu membicarakan ilmu logik, Ibn Bajjah berpendapat bahawa
sesuatu yang dianggap ada itu sama ada benar-benar ada atau tidak
ada bergantung pada sama ada diyakini ada atau hanyalah suatu
kemungkinan. Justeru itu, apa yang diyakini itulah sebenarnya satu
kebenaran dan sesuatu kemungkinan itu boleh jadi mungkin benar dan
tidak benar.
Sebenarnya, banyak perkara di dunia ini yang tidak dapat dihuraikan
menggunakan logik. Jadi, Ibnu Bajjah belajar ilmu-ilmu lain untuk
membantunya memahaminya hal-hal berkaitan dengan metafizik.
Ilmu sains dan fizik misalnya digunakan oleh Ibn Bajjah untuk
menghuraikan persoalan benda dan rupa. Menurut Ibn Bajjah, benda
tidak mungkin wujud tanpa rupa tetapi rupa tanpa benda mungkin
wujud. Oleh sebab itu, kita boleh menggambarkan sesuatu dalam
bentuk dan rupa yang berbeza-beza.
Kemahiran Ibn Bajjah dalam bidang matematik dan fizik sememangnya
diperakui tetapi beliau tidak cuba menyelesaikan permasalahan yang
timbul. Sebaliknya ilmu itu digunakan untuk menguatkan hujah dan
pandangannya mengenai falsafah serta persoalan metafizik.
Masih banyak lagi pemikiran falsafah Ibn Bajjah yang tidak diketahui
kerana sebahagian besar karya tulisannya telah musnah. Bahan yang
tinggal dan sampai kepada kita hanya merupakan sisa-sisa dokumen
yang berselerakan di beberapa perpustakaan di Eropah.
Sesetengah pandangan falsafahnya jelas mendahului zamannya.
Sebagai contoh, beliau telah lama menggunakan ungkapan manusia
sebagai makhluk sosial, sebelum para sarjana Barat berbuat demikian.
Begitu juga konsep masyarakat madani telah dibicarakan dalam
tulisannya secara tidak langsung.
Sesungguhnya Ibn Bajjah merupakan tokoh ilmuwan yang hebat.
Sesuai dengan itu beliau telah diberikan kedudukan dan penghormatan
yang tinggi oleh orang Murabbitin.
Tetapi perasaan dengki dan cemburu telah menyebabkan beliau
diracuni dan akhirnya meninggal dunia pada tahun 1138 (M) dalam usia
yang masih muda. Biarpun umur Ibn Bajjah tidak panjang tetapi
sumbangan dan pemikirannya telah meletakkan tapak yang kukuh
kepada perkembangan ilmu dan falsafah di bumi Andalusia.
No comments:
Post a Comment